ILMU PELITA HIDUP
Ilmu amat tinggi nilainya. Setiap orang dituntut untuk memperolehnya. Masyakat yang tidak berilmu
mereka akan ketinggalan. Dalam Islam, menuntut ilmu adalah wajib. Masyarakat Melayu sejak zaman
dahulu lagi amat menghargai ilmu. Orang yang berilmu akan dihormati dan diperlukan dalam
masyarakat. Ilmu menjadi penerang dalam kehidupan seseorang. Sikap mementingkan ilmu dan
memandang tinggi akan ilmu telah terpancar dalam pantun Melayu sejak dahulu lagi.
Anak rusa merentang hutan,
Lari dikejar anak beruang;
Ilmu umpama emas dan intan,
Berguna kepada semua orang.
Ke pekan Kajang sampai pula,
Satu tempat yang ramai manusia;
Ilmu itu umpama gemala,
Dari intan lebih berharga.
Tahap ilmu yang tinggi atau keintelektualan bagi seseorang merupakan syarat yang amat diperlukan
dalam masyarakat Melayu dan semua komuniti dalam hiidup ini. Apabila seseorang itu berilmu segala
yang dihajati akan tercapai kerana ilmu membantu seseorang mencapai matlamat yang diimpikan.
Angin berhembus cuaca redup,
Budak-budak bersuka ria;
Ilmu itu panduan hidup,
Memandu kita ke jalan bahagia.
Allah befirman yang bermaksud, “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan daripada kalangan orang-orang lelaki, yang kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu, bertanyalah (kamu) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengatahuinya,”
(Surah An-Nahl:43)
Seperkara yang pasti, Islam telah menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Banyak cara dan pelbagai
kaedah yang boleh kita gunakan untuk mendapatkan ilmu. Kita boleh memperoleh ilmu sama ada
dengan membaca bahan-bahan ilmiah, melalui talian maya, atau merujuk pada guru atau mereka yang
lebih arif tentang sesuatu ilmu tersebut. Sekiranya kita tidak tahu tentang sesuatu hukum hakam, maka
hendaklah kita bertanyakan pada orang-orang alim atau pada ahli ulama untuk mengupas satu-satu hal
itu dengan lebih terperinci lagi. Ilmu bagaikan emas bagi manusia. Ilmu berasal dari bahasa Arab
iaitu alim yang ertinya pintar atau orang yang ahli. Sebahagian orang yang berilmu akan hidup
bahagia di dunia kerana orang yang berilmu memiliki keahlian dalam bidang-bidang tertentu.
Saya ambil contoh seorang ilmuan, kalau Ilmuan itu tidak berilmu, apakah ilmuan itu dapat
meneliti sesuatu yang dia tidak pasti? Jadi, ilmu bagi seseorang manusia itu sangat berharga,
kerana ilmu sebagai cahaya hidup bagi manusia. Ilmu adalah anugerah yang sangat istimewa
yang diberikan oleh Allah kepada kita.
Ilmu amat dihargai, dan kerana itulah masyarakat dahulu sanggup bersusah payah untuk mendapatkan
ilmu, malah mereka sanggup pula berkorban harta benda untuk tujuan tersebut. Ilmu digali dan dicari
bersungguh-sungguh di mana-mana sahaja. Hal ini dapat kita lihat dalam pantun Melayu seperti di
bawah;
Kalau membawa wang sebungkal,
Belikan keladi tiga kati;
Biar habis emas sebungkal,
Asalkan pengetahuan menjadi ganti.
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Pinang muda dibelah-belah,
Mari disusun di atas meja;
Dari muda hingga ke tua,
Mencari ilmu di mana saja.
Orang yang berilmu dianggap orang yang bijak mengawal tingkah lakunya, memiliki sikap terpuji, dan
yang pasti mereka disenangi oleh setiap insan. Ilmu yang ada di dalam dada seseorang dapat
membentuk nilai-nilai murni dalam diri mereka. Sikap terpuji yang dimiliki oleh orang berilmu juga amat
terserlah dalam kalangan masyarakat. Dalam pantun Melayu tradisional telah menggambarkan hal ini
dengan jelas dan boleh dijadikan panduan kepada setiap insan, dan kepada setiap orang yang mahu
berfikir.
Apa tanda batang tebu,
Batang tebu halus uratnya;
Apa tanda orang berilmu,
Orang berilmu halus sifatnya.
Anak dara menumbuk pandan,
Membuat kuih hidangan kenduri;
Ilmu yang baik jadikan teladan,
Segala yang buruk letak ke tepi.
Segala ilmu yang kita peroleh perlu diamalkan untuk faedah masyarakat yang amat rapat hubungannya
antara satu sama lain. Kita perlu mencari ilmu sejak kecil lagi dan ibu bapa wajib memberi ilmu kepada
anak-anak mereka. Dalam hal ini kita dapat lihat dalam pantun Melayu sejak dahulu lagi.
Dayung perahu tuju haluan,
Membawa rokok bersama rempah;
Kalau ilmu tidak diamalkan,
Ibarat pokok tidak berbuah.
Keris kecil menikam ular,
Keris besar menikam singa;
Dari kecil tak hendak belajar,
Sudah besar tertanya-tanya.
Sungguhpun begitu, seseorang itu perlu mencari ilmu yang boleh memberikan manfaat kepada dirinya
dan juga masyarakatnya. Ilmu yang dicari itu mestilah ilmu yang tidak menyesatkan manusia dan boleh
menjadi bekalan di akhirat nanti dan juga membolehkan seseorang itu meneruskan kelangsungan
hidupnya di muka bumi ini. Jika seseorang itu mencari ilmu yang tidak bermanfaat, dikhuatiri akan
menyebabkannya tersesat jalan di dunia dan akan rugi pula di akhirat nanti. Hal ini telah dipantunkan
oleh masyarakat Melayu sejak dahulu lagi seperti yang dipantunkan dalam pantun berkait yang
menggunakan pembayang maksud anak ayam:
Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Tuntutlah ilmu bersungguh-sungguh,
Akan bekalan hari kemudian.
Anak ayam tinggal sembilan,
Mati seekor tinggallah lapan;
Akan bekalan hari kemudian,
Di dalam kubur berdinding papan.
Anak ayam turunlah lapan,
Mati seekor tinggallah tujuh;
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.
Ilmu di dunia ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu ilmu agama dan ilmu pengetahuan. Ilmu
agama adalah ilmu yang mengajarkan kepada kita untuk meyakini dan mengukuhkan agama
seseorang seperti ilmu Tauhid bagi umat Islam. Jadi, keistimewaan ilmu agama adalah untuk
mengukuhkan keyakinan kita terhadap apa-apa yang dianuti, dan sudah semestinya bagi kita
yang beragama Islam adalah untuk mengukuhkan keyakinan dan keimanan kita kepada Allah
S.W.T.
Ilmu Pengetahuan pula adalah ilmu yang menerangkan tentang teknologi di dunia ini untuk
memudahkan perjalanan hidup manusia dari satu generasi ke satu generasi. Jadi, keistimewaan
ilmu ini adalah untuk keamanan hidup manusia, yang dalam era globalisasi ini kehidupan
manusia semakin penuh dengan cabaran. Ada banyak keistimewaan orang yang mempunyai
ilmu, antaranya ialah, mudah untuk seseorang itu mendapatkan pekerjaan yang berkualiti.
Dalam era globalisasi ini kita harus menuntut ilmu sebaik mungkin kerana ilmu dalam era ini
sangat berguna untuk kelangsungan hidup kita. Negara-negara yang maju di dunia ini kerana
rakyatnya dipengaruhi dengan ilmu. Berunai, walaupun negaranya kecil tetapi dia masih
mempunyai Minyak yang digunakan sebaik mungkin, dan semua itu pastilah berhubungan
dengan ilmu. Negara Jerman pula terkenal dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, dan di sana
gaji guru diutamakan kerana guru adalah sumber ilmu bagi rakyat mereka.
Hanyalah kagum yang dapat kita rasakan apabila mendengar ucapan: “Ilmu adalah lebih kita perlukan daripada keperluan kita terhadap makanan dan minuman, kerana keperluan kita terhadap makan dan minum mungkin hanya sekali atau dua kali sehari, akan tetapi keperluan kita terhadap ilmu itu sebilangan dengan keluar masuknya nafas kita”
Itulah perkataan Imam Ahmad bin Hanbal, sederhana tapi mempunyai makna yang luar biasa,
perkataan orang yang diberi anugerah keluasan ilmu oleh Allah, sesuatu yang dapat
mengangkat darjat pemiliknya dengan beberapa darjat, yang membuat hidup lebih bererti. Itu
semua adalah sebagai panduan kita untuk meraih sebenar-benar pengabdian kepada sang
Kholiq. Perkataan yang demikian menggambarkan akan keperibadian pengucapnya, yang
tentunya sarat dengan ilmu dien/syarie.
Jadi, jelaslah bahawa ilmu adalah mutlak yang kita perlukan dalam setiap langkah kita. Hati
tanpa ilmu bagaikan bernafas tanpa udara, yang akhirnya mati. Ilmu adalah cahaya, hidup
tanpa ilmu bagaikan berjalan di dalam kegelapan malam yang pekat tiada cahaya sedikitpun
jua, tak tahu mana arah yang hendak dituju, atau bagaikan berjalan di jalan yang penuh dengan
onak dan duri, salah dalam melangkah akan binasalah akibatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan