Novel SPM
Jawab semua soalan di bawah. Jawapan anda mestilah berdasarkan novel-novel yang anda kaji.
Latihan 1
a. Nilai kasih sayang sering menjadi inti pati penting dalam penghasilan sesebuah novel. Huraikan beberapa peristiwa yang menunjukkan pemaparan nilai tersebut.
b. Huraikan tema novel yang anda kaji berserta contoh-contoh peristiwa yang berkaitan dengan tema tersebut.
Latihan 2
a. Pengarang kerap memasukkan kritikan sosial tentang sesuatu perkara melalui novel mereka. Beri contoh yang relevan tentang pernyataan ini berdasarkan novel yang anda kaji.
b. Huraikan persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam yang anda kaji.
Latihan 3
a. Huraikan keberkesanan unsur saspens dalam penulisan sesebuah novel berserta contoh-contoh yang sesuai berdasarkan novel yang anda kaji.
b. Berdasarkan mana-mana dua buah novel yang telah anda kaji, buat perbandingan tentang watak utama yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.
Latihan 4
a. Berdasarkan novel yang telah anda kaji, terangkan maksud klimaks dan ceritakan klimaks novel tersebut.
b. Penulisan sesebuah novel padat dengan pelbagai peristiwa yang boleh menjadi pengajaran kepada pembaca. Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji berserta contoh yang sesuai.
Latihan 5
a. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan nilai bertanggungjawab berserta contoh peristiwa yang berkaitan dengan nilai murni tersebut.
b. Pelbagai latar tempat dalam penghasilan novel digunakan oleh pengarang untuk meluaskan lingkungan cerita. Jelaskan variasi tempat yang terdapat dalam novel yang anda kaji berserta peristiwa yang berkaitan dengannya.
Latihan 6
a. Konflik boleh berlaku antara watak dengan dirinya ataupun dengan watak lain. Nyatakan konflik yang dialami oleh watak-watak dalam novel yang anda kaji.
b. Nyatakan watak antagonis berserta perwatakannya berdasarkan novel yang anda kaji.
Latihan 7
a. Selain nilai positif, nilai negatif turut dipaparkan melalui novel yang anda kaji. Huraikan pernyataan ini berdasarkan contoh peristiwa yang sesuai.
b. Huraikan peristiwa yang menunjukkan konflik dalam plot novel-novel yang anda kaji.
Latihan 8
a. Apakah pendapat anda tentang epilog setiap novel yang anda kaji.
b. Berdasarkan mana-mana dua novel yang telah anda kaji, buat perbandingan tentang latar masyarakat yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.
Jawapan Novel SPM 2010
(Berdasarkan Novel Perlumbaan Kedua (T4) & Julia (T5)
Jawab semua soalan di bawah. Jawapan anda mestilah berdasarkan novel-novel yang anda kaji.
Latihan 1
a. Nilai kasih sayang sering menjadi inti pati penting dalam penghasilan sesebuah novel. Huraikan beberapa peristiwa yang menunjukkan pemaparan nilai tersebut.
Perlumbaan Kedua –
- Tuk Kura digambarkan sebagai seorang ketua yang penyayang terhadap bangsanya.
- Bangsa kura-kura yang lain sanggup menghina dan mendera Tuk Kura kerana beranggapan bahawa Tuk Kura sengaja menyakitkan anak-anak yang mereka kasihi.
- Sang gajah digambarkan sebagai seorang yang bersifat penyayang dan adil sehingga dipilih sebagai hakim kepada perlumbaan antara Tuk Kura dengan sang arnab putih.
Julia
- Datuk Bakar dan Datin Maznah mengambil keputusan untuk menghantar Julia belajar dalam bidang keagamaan di Australia kerana mereka tidak mahu Julia terus terjebak dalam perbuatan yang tidak menjamin masa depannya.
- Ummi Sarah cuba mencurahkan kasih sayang kepada Julia dan adik-adiknya yang telah hilang tempat bergantung walaupun dia tahu bahawa anak-anak tirinya itu masih belum dapat menerima dirinya sebagai pengganti ibu mereka.
b. Huraikan tema novel yang anda kaji berserta contoh-contoh peristiwa yang berkaitan dengan tema tersebut.
Perlumbaan Kedua
- Novel ini membawa tema kebijaksanaan dan keberanian serta daya fikir yang kreatif dan kritis akan menghasilkan sesuatu yang positif.
· Tuk Kura cuba melatih anak buahnya sebagai persediaan hari perlumbaan tetapi niatnya telah disalah tafsir oleh kura-kura lain.
· Niat yang terhalang menyebabkan Tuk Kura terpaksa menyahut cabaran tersebut walaupun dia sudah terlalu tua untuk pertandingan seumpama itu.
· Tuk Kura menggunakan pengalaman dan kebijaksanaan akal untuk mengatasi kelincahan dan tenaga muda daripada pihak lawan. Tuk Kura akhirnya berjaya memenangi perlumbaan tersebut.
Julia
- Novel ini memaparkan kegigihan seorang gadis remaja dalam menghadapi cabaran hidup.
· Julia mengambil tanggungjawab dan berusaha untuk memajukan perniagaan keluarga setelah kematian kedua-dua orang ibu bapanya.
· Cabaran demi cabaran yang mendatang mematangkannya dalam meniti arus kehidupan yang sebenar.
· Julia juga berusaha menjalankan tanggungjawab terhadap adik-adiknya dengan sebaik mungkin dengan harapan dapat memberikan kasih sayang kepada mereka.
Latihan 2
a. Pengarang kerap memasukkan kritikan sosial tentang sesuatu perkara melalui novel mereka. Beri contoh yang relevan tentang pernyataan ini berdasarkan novel yang anda kaji.
Perlumbaan kedua
- Dalam satu pihak, pengarang mengkritik sikap masyarakat yang sanggup memberi rasuah demi kepentingan diri sendiri. (contoh: arnab upah ular).
- Pengarang menganggap tindakan seseorang yang mempunyai kelebihan tetapi sombong dan tidak mendengar kata hanya akan mensia-siakan (merugikan) dirinya. (contoh: arnab putih).
- Pengarang mengkritik sikap masyarakat yang mengagung-agungkan seseorang apabila dia berjaya menjulang nama mereka tetapi tidak pernah yakin ataupun memberi sumbangan untuk usaha tersebut. (contoh:masyarakat kura-kura yang memulau Tuk Kura).
- Pengarang mengkritik sikap masyarakat yang suka mengadu domba atau menjadi batu api. ( contoh: Sang kancil mengadu domba arnab putih yang tangkas).
Julia
- Pengarang mengkritik sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kegawatan ekonomi yang dialami oleh orang lain, terutama dalam bidang perniagaan.
- Pengarang ingin mengubah pandangan terhadap seseorang yang bergelar ibu tiri. Pengarang menampilkan watak ibu tiri yang penyayang, malah boleh menggantikan peranan ibu kandung yang telah meninggal dunia.
- Perkara yang turut ditekankan oleh pengarang ialah penagihan dadah. Pengarang mengkritik sikap remaja yang sanggup menghambakan diri kepada dadah atau membuang masa dengan melepak sedangkan mereka mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap keluarga, bangsa dan negara.
b. Huraikan persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam novel yang anda kaji.
Perlumbaan Kedua
· Kepentingan permuafakatan dalam masyarakat
- Tuk Kura menasihati suku sakat kura-kura tentang pentingnya permuafakatan jika ingin melihat kejayaan bangsa mereka.
· Kebijaksanaan mengatasi kekuatan fizikal.
- Tuk Kura amat bijak walaupun kelihatan lemahatau sudah tua.
· Pentingnya sifat sabar dalam menghadapi cabaran hidup
- Tuk Kura bersabar dengan sikap suku sakatnya yang sanggup menuduh serta menderanya dan meneruskan usaha untuk memenangi perlumbaan dengan sang arnab.
· Kepentingan mempertahankan maruah bangsa.
- Sang arnab sanggup mengadakan perlumbaan kedua dengan kura-kura kerana ingin menebus maruah bangsanya.
- Tuk Kura sanggup menggantikan cucu cicitnya dalam perlumbaan kedua bagi mempertahankan maruah bangsanya walaupun dia sudah tua dan lemah.
Julia
· Ketabahan dalam menghadapi dugaan Tuhan.
- Julia tabah apabila berhadapan dengan dugaan hidup setelah kematian ayah dan ibunya.
· Tanggungjawab terhadap keluarga, agama dan masyarakat.
- Ibu bapa Julia sanggup menghantar Julia ke Australia untuk menuntut ilmu dan menyelamatkannya daripada bergaul dengan remaja yang terlibat dengan masalah sosial. Didikan yang sempurna telah menjadikan Julia seorang anak yang baik dan berguna.
· Kepentingan muafakat dan kerjasama dalam menjayakan sesuatu projek.
- Projek homestay yang dijalankan oleh syarikat Julia dan Jun berjalan dengan lancar atas permuafakatan dan usaha sama kedua-dua buah syarikat.
· Politik dalam perniagaan.
- Syed Mustaffa dan Encik Baharom, pekerja di syarikat Julia tidak bekerja dengan amanah, malah sanggup menggelapkan wang syarikat dan mengugut orang lain.
Latihan 3
a. Huraikan keberkesanan unsur saspens dalam penulisan sesebuah novel berserta contoh-contoh yang sesuai berdasarkan novel yang anda kaji.
Perlumbaan Kedua
Unsur saspens amat berkesan dalam penulisan sesebuah novel kerana unsur ini mampu menarik minat pembaca untuk mengetahui kisah seterusnya. Selain itu, dengan adanya unsur saspens pembaca akan tertanya-tanya, dan keadaan ini tidak menimbulkan kebosanan kepada pembaca. Terdapat beberapa unsur saspens dalam novel ini yang menarik minat pembaca.
- Ketika Sang Arnab tertanya-tanya kisah lama yang dimaksudkan oleh Sang Kancil.
- Ketika Tuk Kura hampir-hampir tidak mempercayai kata-kata Sang Kancil yang membawa pesan arnab.
- Sang kancil ternanti-nanti jawapan daripada Tuk Kura tentang perlumbaaan yang telah diusulkan kepadanya.
- Seluruh penghuni rimba tertanya-tanya sebab mereka diminta untuk berkumpul di kaki bukit batu oleh Sang Gajah.
- Seluruh penghuni rimba tertanya-tanya sama ada Tuk Kura mampu menyaingi ketangkasan Sang Arnab Putih dalam perlumbaan itu.
- Bapa Sang Arnab mengambil sikap berwaspada ketika ular tedung bertanyakan ganjaran daripadanya sambil mengembangkan kepala seolah-olah bersedia untuk mematuk.
Julia
- Julia tertanya-tanya orang yang memberinya sebuah lotak kecil melalui makcik Nadia.
- Julia begitu berdebar apabila Sister Fatimah memintanya mengikut pengetua ke pejabat.
- Julia tertanya-tanya tujuan Jun tiba-tiba datang menemaninya ketika dia menziarahi kubur kedua-dua orang ibu bapanya.
b. Berdasarkan mana-mana dua buah novel yang telah anda kaji, buat perbandingan tentang watak utama yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.
Perlumbaan kedua (Tuk Kura)
- Ketua kumpulan kura-kura yang bijak dan berfikiran jauh.
- Tabah dan gigih berusaha demi mempertahankan maruah bangsanya. Sanggup berlatih bersendirian dan menerima kutukan serta hinaan daripada bangsanya sendiri.
- Tidak mudah tunduk kepada segala permasalahan yang sedang dihadapi demi menjaga maruah bangsanya.
- Berjaya menjadi juara dalam perlumbaan dengan sang arnab putih.
Julia (Julia)
- Gadis yang terpaksa memikul tanggungjawab yang sangat berat, iaitu mengendalikan perniagaan keluarga setelah kedua-dua orang ibu bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.
- Bijak dalam membuat keputusan terutama berhubung hidup dan masa depan.
- Anak yang patuh kepada ibu bapa. Dia tidak membantah kehendak orang tuanya agar dia belajar di sebuah kolej Islam di Australia.
- Kakak yang bertanggungjawab dan penyayang. Berkahwin dengan Jun (Cina Muslim) yang telah banyak membantunya dalam mengharungi permasalahan yang sedang dihadapinya.
Latihan 4
a. Berdasarkan novel yang telah anda kaji, terangkan maksud klimaks dan ceritakan klimaks novel tersebut.
Perlumbaan Kedua
- Klimaks – puncak cerita /puncak konflik / ketegangan / bahagian yang mendekati peleraian / aksi menurun.
- Klimaks novel ini ialah peristiwa perlumbaan antara Tuk Kura dengan Sang Arnab Putih.
- Tuk Kura melantunkan badannya di atas trek perlumbaan yang dipenuhi dengan batu-batu dari atas bukit.
- Tuk Kura memenangi perlumbaan dan disambut dengan sorak-sorai binatang-binatang di hutan. Suku-sakat Tuk Kura menyesali perbuatan mereka yang mendera Tuk Kura dan memohon kemaafan daripadanya.
Julia
- Klimaks – puncak cerita /puncak konflik / ketegangan / bahagian yang mendekati peleraian / aksi menurun.
- Klimaks novel ini ialah peristiwa Jun memberitahu Julia bahawa dia telah memeluk Islam
- Suatu pagi Julia, nenek, dan adik-adiknya menziarahi kubur abah dan mama – Jun datang dengan memakai baju Melayu.
- Julia terperanjat apabila mengetahui Jun sudah Islam – Julia gembira dan terharu.
- Jun memberitahu hasratnya untuk melamar Julia sebagai isteri – Julia menitiskan air mata terharu.
b. Penulisan sesebuah novel padat dengan pelbagai peristiwa yang boleh menjadi pengajaran kepada pembaca. Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang anda kaji berserta contoh yang sesuai.
Perlumbaan Kedua
· Kita perlu menepati setiap janji yang telah dibuat agar kepercayaan seseorang terhadap kita semakin bertambah.
- Tuk Kura sanggup menyahut cabaran untuk bertanding dengan sang arnab kerana dia sudah berjanji.
· Kita hendaklah berlaku adil semasa menjalankan tugas penghakiman.
- Sang gajah berlaku adil ketika perlumbaan antara Tuk Kura dan sang arnab putih sedang berlangsung.
· Kit hendaklah patuh akan nasihat yang diberikan oleh seseorang yang berpengalaman dan berilmu serta hendaklah digunakan sebaik-baiknya.
- Tuk Kura menasihati suku sakatnya agar bersatu padu ketika menghadapi sebarang cabaran dan jangan berprasangka sesama mereka.
· Kita haruslah meminta maaf apabila melakukan sesuatu kesilapan.
- Suku sakat kura-kura meminta maaf kepada Tuk Kura atas kesilapan yang pernah mereka lakukan.
Julia
· Kita hendaklah segera bertaubat setelah menyedari kesilapan.
- Julia insaf dan tidak mahu lagi melakukan perbuatan yang sia-sia.
· Kita perlu bekerjasama untuk menyelesaikan sesuatu masalah.
- Datuk Jailani membantu Julia memulihkan perniagaannya.
· Kita hendaklah berani mempertahankan kebenaran.
- Julia berani menentang pendapat syed Mustaffa untuk mempertahankan haknya.
· Kita hendaklah jujur dan amanah sewaktu menjalankan sesuatu pekerjaan dan tidak menyeleweng.
- Encik Baharom berhasrat untuk menjual Syarikat BMPRO Transport kepada datuk Khor untuk mendapatkan keuntungan peribadi.
Latihan 5
a. Berdasarkan novel yang anda kaji, huraikan nilai bertanggungjawab berserta contoh peristiwa yang berkaitan dengan nilai murni tersebut.
Perlumbaan Kedua
- Tuk Kura berusaha keras dalam memikul tanggungjawab menyahut cabaran daripada sang arnab putih setelah niatnya untuk melatih cucu-cucunya gagal.
- Sang gajah bertanggungjawab memastikan perlumbaan yang diadakan itu berjalan dengan adil.
- Sang murai dan sang kancil menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik apabila diberi tugaskan untuk mengkhabarkan berita perlumbaan antara sang arnab dengan kura-kura kepada seluruh penghuni rimba.
Julia
- Sebagai orang tua yang bertanggungjawab, ibu bapa Julia sering menegurnya yang kadangkala menyalahgunakan kebebasan yang diberi.
- Julia mengendalikan perniagaan keluarganya dengan bersungguh-sungguh walaupun dia tidak mahir dalam bidang itu demi menjaga amanah kedua-dua orang tuanya yang telah meninggal dunia.
- Ummi Sarah ingin menjalankan tanggungjawab terhadap anak-anak tirinya dengan hati yang ikhlas setelah kematian ibu bapa mereka.
b. Pelbagai latar tempat dalam penghasilan novel digunakan oleh pengarang untuk meluaskan lingkungan cerita. Jelaskan variasi tempat yang terdapat dalam novel yang anda kaji berserta peristiwa yang berkaitan dengannya.
Perlumbaan Kedua
- Kawasan hutan belantara yang dihuni oleh pelbagai spesies binatang.
- Kawasan hutan paya – tempat tinggal Tuk Kura dan bangsanya berbincang setelah menerima cabaran untuk berlumba semula.
- Perkampungan manusia – tempat arnab mencuri telur ayam yang dipelihara oleh manusia untuk diberikan kepada ular.
- Lubang kediaman sang arnab – sang tedung melaporkan kegiatan Tuk Kura dan anak buahnya kepada sang arnab.
Julia
- Kuala Lumpur – Julia dan keluarganya tinggal di sini.
- Perth, Australia – Julia belajar di sebuah kolej Islam dalam bidang ilmu agama dan berkenalan dengan ramai kawan yang begitu mengambil berat akan dirinya.
- Pejabat BMPRO Holdings – Julia mengambil alih tugas ayahnya menguruskan syarikat yang sedang berdepan dengan pelbagai masalah.
- Tanah perkuburan Bukit Kiara – Jun menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Julia.
Latihan 6
a. Konflik boleh berlaku antara watak dengan dirinya ataupun dengan watak lain. Nyatakan konflik yang dialami oleh watak-watak dalam novel yang anda kaji.
Perlumbaan Kedua
- Sang kancil berasa kesal kerana terpaksa bekerja kuat sebagai persediaan menjadi penganjur perlumbaan antara sang arnab putih dengan Tuk Kura.
- Tuk Kura berasa sedih kerana diseksa oleh kura-kura suku rimba dan kura-kura suku tasik yang tidak memahami teknik latihan yang terpaksa dilalui oleh anak mereka.
- Sang arnab putih berasa malu apabila kalah dalam perlumbaan dengan Tuk Kura yang sudah tua berbanding dirinya yang masih muda dan tangkas itu.
Julia
- Julia terpaksa menerima keputusan drastik yang dibuat oleh abah dan mamanya untuk menghantarnya belajar di Hidayah Islamic College, sedangkan pada waktu itu dia belum bersedia untuk berpisah dengan adik-adik dan kawan-kawannya. Dia juga belum bersedia untuk mengubah cara hidupnya. Walau bagaimanapun dia tidak mahu mengecewakan abah dan mamanya.
- Julia mengalami konflik dalaman apabila bertemu dengan sahabat-sahabat baharu di Hidayah Islamic College yang menyambutnya dengan baik. Dia berasa sedemikian kerana di sebalik pakaiannya yang menutup aurat, tersembunyi sejarah silamnya yang tercalar dan dia dalam dilema sama ada untuk memberitahu kawan-kawan baharunya itu atau tidak.
- Encik Baharom mengalami konflik dalaman apabila Julia mengetahui cita-citanya untuk menjual syarikat BMPRO Transport kepada Datuk Khor. Tindakan Julia akan menjejaskan kedudukannya. Julia juga menempelaknya dengan mengatakan bahawa tindakannya telah merosakkan agama, bangsa dan negara.
b. Nyatakan watak antagonis berserta perwatakannya berdasarkan novel yang anda kaji.
Perlumbaan Kedua
- Sang tedung yang menjadi pengintip kepada sang arnab putih.
- Sang tikus tanah sanggup menolong sang arnab putih menggigit rumpun-rumpun lalang di kaki bukit.
- Kura-kura suku kuala, suku tasik dan suku rimba yang telah membelasah dan mendera Tuk Kura kerana mereka menganggap Tuk Kura mendera anak-anak mereka.
Julia
- Rashid mengugut akan mendedahkan identiti dan segala sejarah silam Julia di akhbar jika Julia menolak dirinya dan tidak ingin menyertainya dan kawan-kawan lain untuk pergi ke disko, pub dan berfoya-foya.
- Encik Baharom menyimpan hasrat untuk menjual syarikat BMPRO Transport kepada Datuk Khor demi kepentingan peribadi.
- Syed Mustaffa bersikap tamak serta ingin memiliki syarikat BMPRO Butik yang dikendalikan oleh kakaknya, Ummi Sarah.
Latihan 7
a. Selain nilai positif, nilai negatif turut dipaparkan melalui novel yang anda kaji. Huraikan pernyataan ini berdasarkan contoh peristiwa yang sesuai.
Perlumbaan Kedua
· Sombong / bongkak – Sang arnab putih sombong kerana berjaya mengalahkan arnab-arnab yang lain dalam perlumbaan pemilihan.
· Mementingkan diri / tamak – Sang tedung mementingkan upah berupa telur sebelum melakukan kerja / mengintip Tuk Kura.
· Tidak mengenang budi – Kura-kura suku rimba / suku tasik / suku kuala menghina dan mendera Tuk Kura tanpa belas kasihan.
Julia
· Tidak menghormati pendirian orang lain – Rashid mempersenda Julia yang telah mengubah cara hidupnya menjadi seorang yang berpegang pada agama. Dia juga mengugut akan mendedahkan sejarah silam Julia di media jika tidak menurut kehendaknya.
· Tamak – Syed Mustaffa mempunyai agenda tersendiri apabila Datuk Bakar berkahwin dengan kakaknya, Ummi Sarah. Dia bercita-cita mengambil alih BMPRO Butik dan mendesak Julia menukar hak milik butik tersebut kepada Ummi Sarah supaya dia dapat meneruskan cita-citanya untuk memiliki butik tersebut.
· Mementingkan diri sendiri – Encik Baharom berhasrat untuk menjual syarikat BMPRO Transport kepada Datuk Khor, pemilik BKL Transport kerana dia akan mendapat habuan yang lumayan.
b. Huraikan peristiwa yang menunjukkan konflik dalam plot novel-novel yang anda kaji.
Perlumbaan Kedua
- Suku-sakat Tuk Kura berasa marah apabila Tuk kura telah bersetuju untuk bertanding tanpa berbincang dengan mereka terlebih dahulu. Tuk Kura dipukul dan didera oleh suku-sakat yang tidak berpuas hati dengan cara Tuk Kura melatih anak-anak mereka.
- Tuk Kura menghilangkan diri kerana merajuk dengan sikap suku-sakatnya yang tidak menghargai usaha dan niat baiknya.
- Ahli keluarga sang arnab juga mempertikaikan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh ang arnab putih. Mereka juga sukar untuk menentukan siapa yang berlumba dengan kura-kura nanti.
Julia
- Ayah dan ibu Julia terlibat dalam kamalangan jalan raya yang meragut nyawa mereka.
- Julia berdepan dengan masalah syarikat setelah memangku jawatan Pengerusi BMPRO Holding Sdn. Bhd.
- Julia berkonflik dengan Syed Mustaffa yang cuba menuntut harta Datuk Bakar yang konon untuk adiknya, Ummi Sarah.
Latihan 8
a. Apakah pendapat anda tentang epilog setiap novel yang anda kaji.
Perlumbaan Kedua
- Saya bersetuju dengan epilog novel ini.
- Kaum kerabat Tuk Kura dilanda kekesalan atas perbuatan mereka terhadap Tuk Kura selama ini. Mereka berasa malu kerana mereka tidak bertindak dengan bijak seperti Tuk Kura. (cth: suku sakat kura-kura memulau dan mendera Tuk Kura/ apabila Tuk Kura menang perlumbaan mereka gembira).
- Pengarang memberi suatu amanat yang sangat penting, iaitu keberanian dalam menegak maruah bangsa dan keinginan untuk menimba ilmu pengetahuan bukan semata-mata mengejar gelaran atau darjat. (cth: Tuk Kura mengajar cucu-cucunya untuk menghadapi perlumbaan)
- Pemaparan kata-kata Tuk Kura oleh pengarang mengajak kita merenung kebenaran kata-kata tersebut dengan hakikat kehidupan. Kita seperti diajak untuk berfikir, “Siapakah yang mampu mengganti pemimpin kita yang ada sekarang jika masyarakat pada hari ini bersikap seperti suku-sakat kura-kura dalam novel ini?”
Julia
- Penyelesaian yang membahagiakan!
- Julia dan Jun, pasangan kekasih akhirnya diijabkabulkan, hidup bahagia – suatu pengakhiran yang sudah pasti disukai oleh pembaca kerana berdasarkan perjalanan cerita yang sebelumnya.
- Kejayaan program homestay yang dianjurkan syarikat Jun dan Julia dijadikan perangsang oleh pengarang kepada pembaca terutama golongan remaja untuk berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan.
- Nota lusuh tulisan Jun yang dipaparkan sebagai noktah karyanya pula menjadi kata-kata semangat kepada Julia dan pembaca dalam meniti dugaan kehidupan.
b. Berdasarkan mana-mana dua novel yang telah anda kaji, buat perbandingan tentang latar masyarakat yang terdapat dalam kedua-dua buah novel tersebut.
Perlumbaan Kedua
- Masyarakat binatang yang hidup di dalam rimba.
- Masyarakat yang sanggup menerima cabaran demi mempertahankan maruah bangsa.
- Masyarakat yang bekerjasama untuk memeriahkan setiap acara yang diadakan dan cuba memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar.
- Segelintir masyarakat yang mementingkan diri sendiri, sombong dan berbangga dengan kelebihan yang dimilikinya.
Julia
- Masyarakat yang berusaha dengan gigih dalam membangunkan diri dan perniagaan.
- Masyarakat yang menjalankan tanggungjawab dengan baik demi kebaikan bersama.
- Segelintir masyarakat yang sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mencapai cita-citanya tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain.
- Segelintir masyarakat yang pasrah dengan ujian hidup dan terus bangun untuk menempuh segala cubaan.
Nota: Epilog bermaksud bahagian akhir sesebuah karya atau drama yang memberi komen atau ringkasan tentang karya yang berkenaan; 2. ucapan ringkas atau puisi yang diungkapkan oleh seseorang pelakon kepada penonton pada penghujung sesebuah persembahan drama.
episod (épisod) satu bahagian daripada sesebuah karya sastera atau drama yang muncul dalam beberapa bahagian selama satu-satu tempoh.
Variasi = kepelbagaian / kelainan
· Soalan Tambahan:
· Huraikan peristiwa yang menunjukkan unsur kejutan dalam novel-novel yang anda kaji.
Perlumbaan Kedua
- Sang Kancil terkejut apabila ditegur oleh Sang Murai semasa dia keletihan mencari Tuk Kura.
- Bapa Sang Arnab amat terkejut ketika Sang Arnab Putih menyatakan kepada ahli keluarganya tentang perlumbaan kedua dengan Sang Kura-kura.
- Apabila Sang Gajah bertempik memanggil Sang Kancil di tengah kabus tebal.
- Ketika Sang Murai melaung-laung menyatakan Tuk Kura sudah hilang.